POKOK SENA: Sepasang suami isteri terkejut selepas buah mempelam seberat tiga kilogram yang dibeli di Pekan Siam, Thailand, dirampas kakitangan Jabatan Pertanian di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK) Padang Besar, berikutan tidak mempunyai permit import (AP). Yahaya Wahab, 67, dari Taman Bandar Baru, di sini, tidak menyangka buah mempelam yang dibeli pada harga RM10 Rabu lalu untuk keluarga perlu mendapatkan sijil AP.
Katanya, beliau dan isteri, Ramlah Hassan, 60, terkejut kerana tidak pernah dikenakan tindakan seumpama itu sebelum ini.
“Ketika hendak melalui pemeriksaan di KIK, pegawai kastam melakukan pemeriksaan rutin dan pada masa sama seorang kakitangan Jabatan Pertanian datang ke arah kereta saya.
“Beliau bertanya adakah saya ada membeli barangan di negara jiran dan memaklumkan membeli mempelam seberat tiga kilogram,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Yahya berkata, kakitangan Jabatan Pertanian itu kemudian meminta beliau mengemukakan sijil AP sebelum membenarkan membawa masuk mempelam berkenaan.
“Saya sangat terkejut kerana dimaklumkan bahawa barangan dibeli dari Thailand walaupun dalam kuantiti kecil perlu mengemukakan sijil AP.
“Selama ini saya tidak berdepan masalah membeli mempelam di Thailand. Malah, tiada siapa memberitahu larangan membawa barangan tertentu termasuk buah-buahan ke negara ini,” katanya.
Yahaya berkata, kakitangan Jabatan Pertanian itu merampas buah berkenaan dan mengeluarkan Notis Perkhidmatan Kuarantin Tumbuhan (Pemeriksaan Pesalinan Pertanian Yang Diimport) atas kesalahan tiada sijil AP.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Sabry Ahmad, berkata orang ramai perlu mendapatkan sijil AP sebelum membawa masuk buah-buahan dan sayur-sayuran dari negara jiran ke negeri ini.
“Peraturan itu sudah dikuatkuasakan sejak 2005 kerana kita mahu mengawal penyakit serangan serangga perosak tumbuhan yang belum ditemui di Malaysia.
“Justeru, orang ramai tidak boleh membawa masuk tiga jenis buah-buahan iaitu mempelam, durian dan jambu air termasuk 12 jenis sayur-sayuran kecuali memohon AP dan sijil fitosanitasi yang dikeluarkan pihak pengeksport,” katanya.
"Peraturan itu sudah termaktub dalam Peraturan Perjanjian Negara-Negara Asean Pengeksport atau Pengeluar bagi mengelakkan penyakit tertentu," katanya.
Ha..ha...ha....ha...ha....ha.....