Assalamualaikum....kabare ......

SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG CIKGU ANAIZ

Friday, July 31, 2009

Otak Kanan dan Otak Kiri

Otak manusia terdiri daripada 2 hemisfera (bahagian) iaitu otak kanan dan otak kiri.
Otak kanan berfungsi dalam bidang yang dikaitkan dengan perkembangan hal-hal yang bersifat artistik, kreativiti, perasaan, emosi, gaya bahasa, irama musik, imaginasi, fantasi, warna, pengenalan diri dan orang lain, hubungan sosial dan pengembangan keperibadian. Daya ingatan otak kanan bersifat panjang (long term memory).Cara kerja otak kanan ini biasanya tidak terstruktur, dan cenderung tidak memikirkan hal-hal yang terlalu khusus iaitu bertentangan dengan otak kiri. Contoh orang yang mengunakan otak kanan dibandingkan otak kirinya adalah seorang seniman, pelukis dan sebagainya.

Otak kiri berfungsi dalam bidang yang dikaitkan dengan akademik yang terdiri dari kemampunan bercakap, kemampuan berbahasa, membaca tulisan, logik, angka, analisis, dan lain-lainnya. Daya ingatan otak kiri bersifat pendek (short term memory). Biasanya ia diidentitikan dengan kecerdasan analitik atau intelek. Individu yang biasanya lebih menggunakan otak kiri adalah seorang penganalisis, pengkaji, ahli matematik atau saintis.

Walaupun keduanya mempunyai fungsi yang berbeza, tetapi setiap individu mempunyai kecenderungan untuk mengunakan salah satu belahan yang dominan dalam menyelesaikan masalah hidup dan pekerjaan. Setiap belahan otak saling mendominasi dalam aktiviti harian. Namun kedua-dua hemisfera otak ini terlibat dalam hampir semua proses pemikiran.


Tuesday, July 28, 2009

Penyakit biasa di Malaysia menjelang Ramadhan

Macam biasa bila nak masuk bulan Ramadhan penyakit lama kat Malaysia ni muncul lagi. Bukannya selesema babi . Bukan juga gastrik. Nak tahu apa dia penyakitnya ? Penyakit perit mencari gula . Gula pasir dah hilang dari pasaran. Baru minggu lepas saya tengok banyak stok gula di pasaraya, tapi hari ni semuanya dah tak ada lagi. Di kedai runcit pun situasinya sama. Nak dapat 2 kilo pun susah. Macam zaman jepun. Begitu juga dengan tepung. Barangkali gula dan tepung ni ada kaki kot. Time nak puasa jer... si gula dan si tepung ni pakat-pakat main sorok-sorok huhuhu..... Tak mustahil minyak masak juga akan mengikut sama main sorok-sorok dengan si gula dan si tepung. Apa nak buat, inilah keadaannya di Malaysia negara ku yang tercinta. September ni petrol naik 20 sen. Kalau minyak dah naik......... sendiri mau ingat la..... Kita tunggu sajalah kenaikan harga gula ni. Malam ni umum naik 10 sen, besok pagi berlonggok la gula kat pasaran. Nak beli selori pun boleh. Sehingga tarikh kenaikkan gula dan barangan keperluan lain tu kita sama-samalah merasai peritnya mencari barang yang bernama gula . Senang cerita, dengan bahasa yang paling mudah , harga barang naik lagi huhuhu........


Monday, July 13, 2009

Durian oh Durian

Oleh kerana sekarang musim durian, saya pun nak berkongsi sikit pasal kisah durian. Kisahnya petang Ahad yang lalu, tekak ni teringin sangat nak makan durian. Jadinya, pergilah ke Sungai Besar untuk membeli durian. Dalam hati dah niat nak beli durian kahwin. Alaaah.... yang ada 'D' kat depan dia tulah. Yang kampung punya tak mainlah huhuhu... Hendak dibuat cerita tak ada pulak durian kahwin masa tu. Yang ada durian kampung dan durian Chini. Pernah dengar durian Chini? Buahnya besar, durinya juga besar. Kalau tengok sekali memang tak 'stim' kata penjual tu lah.

Inilah rupa durian Chini, bentuk seakan-akan durian siam.


Isinya tebal tapi tak sesedap durian yang ada 'D' kat depan.

Bila tanya harganya terkejut beruk dibuatnya. RM 12.00 sekilo, sekupang takleh kurang huhuhu.. Bukan boleh tahan lagi. Ini dah tak boleh tahan namanya. Oleh kerana tekak ni mengada jugak try la timbang sebijik. Perghhh...... 5 kilo sebijik. Mak aii .. rm 60 henggit untuk sebiji durian. Oleh kerana nak tunjuk 'macho' beli jugaklah sebiji huhuhu... So hari tu tercatatlah sejarah. Pertama, membeli durian paling mahal dalam hidup. Keduanya, membeli hanya sebiji durian sahaja huhu... balik rumah saya pun ambil gambar durian nih. Kenangan la katakan. Mahal ya robbi, kenalah ambik gambar. Isinya memang tebal. Gigit sekali tak kena bijinya. Aromanya kuat tapi manisnya kurang. Senang cerita, sedap lagi durian kampung yang dijual longgok-longgok tuh. Bila fikir-fikir balik ... nyesal pulak rasanya beli sebiji durian dengan harga rm 60 henggit huhuhuhu.....


Sunday, July 5, 2009

Tidur dalam khemah?

Tidur dalam khemah ? Mengapa nak tidur dalam khemah pula? Huhu...saya sebenarnya dah lama tak tidur dalam khemah. Kalau tak silap dah lebih 10 tahun. Biasanya camping kat kawasan sekolah jer. Time tidur , cabut balik rumah huhu..... La ni saya kena bawak budak pengakap camping kat luar pulak.
Dulu.. saya mmg suka aktiviti luar ni. Masuk hutan, naik banjaran, panjat air terjun. Tapi sekarang......emmmm......entahlah. Kalau nak cerita kisah dulu banyak jugak hutan yang saya masuk. Hutan Sungai Lembing, Bukit Berantai di Banjaran Titiwangsa, Hutan Lipur Sungai Congkak, Sungai Pisang di Gombak, Kem Komanwel , Kem Mahkota di Maran, hutan Semambu tak usah ceritalah, malah pernah juga menyertai perkhemahan di Bintangor, Sarawak suatu masa dulu. Tapi itu dulu. Sekarang ni rasa macam terseksa pulak. Bila kena bawa pelajar berkhemah kat luar saya rasa tekak jadi payau , badan pulak secara automatik mula rasa sakit-sakit . Bukan jauh dari rumah pun. Dekat jer , tapi entahlah. Apapun demi tanggungjawab saya gagahkan juga....ewaah.


Akhirnya..??? Saya cuba tidur dalam khemah juga. Panas..., rimas., berkuap walaupun pintu khemah dua-dua mmg tak tutup... huhuhu.. macam-macam ada. Bising ? tak usah ceritalah... dah pukul 2 pagi bebudak sembang lagi. Seronok betul bebudak ni bila sesekali bercamping nih. Sound bebudak, kejap jer mereka senyap, pastu buat balik. Lantaklah. Golek sana, golek sini mata tak mau lelap.Teringat tilam, aircond, selimut, bantal peluk...aaarghhh...... Ada jua niat di hati nak cabut balik rumah,tapi tak sampai hati pulak nak tinggalkan budak-budak. Pukul 3 pagi baru senyap . Keluar masuk khemah cam org biol plak jadinya malam tu. Jengok bebudak errmmm.. tidur stail udang . Lena mereka tidur.

Keputusannya...secara total , saya gagal tidur dalam khemah malam tu. Hingga ke subuh mata ini gagal dilelapkan. Maknanya, hari tu saya berjaga 24 jam. Saya kena balik rumah. Saya dah tak tahannnnn....... huhuhu.................



Friday, June 26, 2009

Kalau Marah

Korang selalu marah ke? Marah sampai keluar asap kat telinga tu huhuhu.....dasat kan kalau marah. Tentu buruk muka cam selipar jamban. Kalau korang selalu marah, korang bacalah benda ni. Tips ni saya jumpa masa merayau-rayau. Mudah-mudahan marah korang boleh reda sikit. Sian......telinga tu asyik berasap aje. Saya pun tengah nak praktikkan benda nih . Huhuhu......

Imam Syafie ada menegaskan: “Marah adalah satu di antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.”

Imam Ghazali pula menyatakan sifat marah adalah satu daripada punca besar keburukan akhlak seseorang.

Sebenarnya tabiat ini boleh dikawal dan dikendalikan dengan melatihnya sedikit demi sedikit. Bahkan agama memang menyuruh manusia berbuat demikian.

Apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Bagi menghilangkan perasaan marah ada beberapa panduan yang boleh diikuti, iaitu:

1. Perlu berasa malu dengan Allah atas segala tindakan kita. Allah memerhatikan segala tindakan dan sikap biadab kita.

2. Apabila datang perasaan hendak marah, ingatlah kita ini hanya manusia yang hina.

3. Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah supaya Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

4. Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah. Ia mungkin membawa kepada permusuhan dan balas dendam daripada orang yang kita marahi.

5. Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika marah. Ia lebih buruk daripada perlakuan seekor haiwan apabila kita dalam keadaan marah.

6. Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca istighfar kerana marah itu datang daripada syaitan.

7. Apabila marah sedang memuncak, ambillah wuduk kerana ia dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

8. Jika marah tidak dapat hilang dengan melakukan perkara seperti di atas, hendaklah tidur. Ini kerana ia dapat meredakan perasaan marah apabila bangkit dari tidur nanti.

9. Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?

10. Apabila kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Begitu juga dengan orang lain yang melakukan kesilapan, tidak suka dimarahi, sebalik ditegur secara baik.

11. Satu cara lagi, apabila marah datang, sedangkan kita berdiri, duduklah. Apabila duduk, bersandarlah. Insya-Allah marah akan mula reda.

Sunday, June 21, 2009

Pembantu Guru, (500 : 1)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 11,000 pembantu guru diperlukan bagi meringankan beban guru yang terpaksa menjalankan 'kerja sosial' di luar tugasan seperti mengemas kini rekod, logistik, kegiatan kokurikulum dan ada antaranya menjalankan kerja penyelenggaraan bangunan sekolah.

Ketika ini, 380,000 guru dikatakan tidak mampu fokus kepada pengajaran di kelas disebabkan terpaksa menjalankan kerja luar tugasan yang dianggap beban tambahan.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata jika cadangan itu dilaksanakan, pekerja am ini mengurangkan beban guru serta sebagai persiapan awal menjayakan rancangan program penilaian prestasi sekolah yang dijangka pada 2010 atau 2011.
Katanya, kini sudah ada pembantu guru tetapi cuma disediakan untuk kelas pendidikan khas di sekolah tertentu, sedangkan pembantu itu patut disediakan pada semua 10,000 sekolah di seluruh negara.

"Jika ini dilaksanakan, setiap sekolah akan menerima pembantu guru mengikut jumlah murid.

"Guru tidak lagi perlu memikirkan soal 'kerja sosial' dan boleh fokus kepada pengajaran di dalam kelas dan tidak perlu habiskan banyak masa jalankan tugas di luar bidang kerja.

"Tugas mengajar yang lebih penting, tiada guru yang mahu muridnya gagal, tetapi jika terlalu banyak beban, mereka akan kepenatan dan hilang fokus.

"Bagaimana nak mengajar, sudah tentu kualitinya merosot," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Peng dan pemimpin kanan NUTP. Sebelum itu, beliau menghadiri Seminar Pendidikan NUTP yang membincangkan mengenai Penilaian berasaskan sekolah dan Transformasi Pendidikan.
Pembantu guru paling ideal atau minimum diperlukan ialah nisbah 500 (murid): 1 (pembantu) dan berdasarkan jumlah murid serta pelajar mencecah 5.5 juta orang, pembantu guru diperlukan ialah 11,000.

Hashim berkata, pembantu guru tidak mencampuri tugas mengajar, cuma membantu guru dari aspek lain termasuk kegiatan kokurikulum seperti urusan mengendalikan latihan, pertandingan sukan atau aktiviti persatuan.

"Jika tugas itu dijalankan pembantu, tidak timbul masalah kelas ditunda atau digantikan guru lain yang semestinya tidak mengajar di kelas ganti kerana berlainan subjek," katanya.
NUTP juga meminta kerajaan menangguhkan sementara cadangan mewajibkan pelajar lulus subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat mendapatkan sijil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana menyifatkan guru tidak mencukupi dan belum tiba masanya untuk dilaksanakan.
"Kena kaji masalah guru di luar bandar. Kita perlukan guru pengkhususan Bahasa Inggeris, bukan setakat tangkap muat. Ini tidak menjamin kualiti, bagaimana ajar murid sedangkan guru pun tak cukup bagus, " katanya.

berita harian

Cadangan yang baik untuk dilaksanakan. Tetapi nisbah 500: 1 perlu dihalusi semula huhuhu....

Sunday, June 14, 2009

Mata pelajaran Sejarah wajib di sekolah rendah

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran akan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib bagi semua murid di sekolah rendah, bermula dengan Tahun Satu, tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian juga sudah mengenal pasti kira-kira 500 sekolah rendah termasuk di bandar dan luar bandar yang bakal menjadi perintis pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah.

Alimuddin berkata, pengenalan mata pelajaran Sejarah bukan saja selari dengan pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, malah mampu mempercepatkan proses transformasi sistem pendidikan negara.

"Sebelum ini, Sejarah hanya menjadi sebahagian daripada mata pelajaran Kajian Tempatan. Bagaimanapun, tidak lama lagi pengajaran dan pembelajaran Sejarah akan diterapkan kepada murid di sekolah rendah bermula dengan Tahun Satu.

"Keputusan mengenai bila ia akan menjadi subjek wajib sama ada mulai tahun depan atau 2011, bakal diumumkan Menteri Pelajaran, menjelang akhir tahun ini," katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.

Oktober tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pernah mencadangkan mata pelajaran Sejarah diwajibkan di semua sekolah rendah di seluruh negara bagi mendedahkan pelajar kepada sejarah pembangunan negara bermula dari peringkat umur rendah.

Abdullah berkata, langkah berkenaan perlu kerana lazimnya pelajar yang mengikuti aliran sains di sekolah menengah sehingga ke peringkat pengajian tinggi dan seterusnya memasuki alam pekerjaan, tidak terdedah kepada mata pelajaran Sejarah.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, pengenalan subjek Sejarah pada peringkat awal juga membolehkan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah menjadi lebih menyeronokkan.

Pada masa sama, Alimuddin berkata, kementerian juga sedang mengenal pasti pendekatan efektif bagi menangani rungutan ibu bapa mengenai masalah beg berat berikutan terlalu banyak buku yang perlu dibawa anak mereka ke sekolah.

"Kementerian akan melaksanakan sistem baru dalam membuat penilaian terhadap prestasi pelajar iaitu Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK), bermula dengan murid Tahun Satu.

"Menerusi sistem baru itu, prestasi pelajar bukan saja dinilai berasaskan peperiksaan, malah turut mengambil kira aspek rohani, jasmani dan emosi secara bersepadu termasuk pembabitan mereka dalam kegiatan kokurikulum," katanya.

sumber : berita harian

10 Subjek Sahaja Untuk SPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran dijangka akan mengumumkan keputusan mengenai langkah mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh terdekat ini.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata keputusan itu akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah meneliti laporan lengkap berhubung perkara itu.


“Laporan mengenai perkara itu, termasuk analisis berhubung pandangan orang ramai akan dihantar kepada Muhyiddin sedikit masa lagi. Biarlah keputusannya itu diumumkan oleh beliau (Muhyiddin) sendiri.

“Saya berharap semua pihak dapat bersabar menunggu keputusannya. Ketika ini semakan peringkat akhir laporan berkenaan sedang dibuat sebelum diserahkan kepada menteri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata, mulai tahun depan calon SPM hanya dibenar mengambil maksimum 10 mata pelajaran.

Bagaimanapun, katanya, kementerian masih membuka ruang perbincangan dengan pelbagai pihak berhubung perkara berkenaan terutama membabitkan penentuan mata pelajaran teras dan elektif yang bakal diambil pelajar SPM untuk semua aliran pendidikan.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, isu berkenaan menarik perhatian pelajar Malaysia di luar negara apabila mereka turut menghantar pandangan menerusi emel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada beliau.

Katanya, pandangan berkenaan adalah daripada lebih 300 emel dan 20 SMS yang diterima beliau sejak 2 Jun lalu dari pelbagai lapisan masyarakat yang memberikan pelbagai reaksi berhubung kewajaran langkah kerajaan itu.

Ditanya jumlah pandangan yang diterima kementerian mengenai cadangan calon SPM diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh, beliau berkata pihaknya sudah menerima banyak pandangan berhubung perkara itu.

sumber : berita harian

BI wajib lebih munasabah daripada PPSMI

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menyokong langkah mewajibkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh, dan menyifatkan usaha itu lebih munasabah dilaksanakan berbanding dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Bagaimanapun, mereka mahu kajian terperinci dilakukan supaya hasrat murni meningkatkan penguasaan bahasa kedua itu dapat dilaksanakan secara tersusun dan membawa manfaat kepada semua pelajar

Tokoh akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berkata langkah itu dilihat sebagai satu usaha ke arah meningkatkan kualiti pelajar dari segi penguasaan Bahasa Inggeris, selain usaha transformasi sistem pendidikan negara.


sumber: berita harian


"Saya yakin langkah itu adalah lebih baik dari PPSMI. Namun, perkara yang harus ditekankan bagi memastikan cadangan berkenaan membuahkan hasil diharapkan ialah meningkatkan kualiti guru yang mengajar mata pelajaran itu," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta orang ramai memberikan pandangan mengenai kemungkinan calon SPM diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika ini calon SPM tidak disyaratkan lulus Bahasa Inggeris walaupun mata pelajaran itu diajar sebagai mata pelajaran di sekolah, selain diiktiraf sebagai bahasa kedua di negara ini.

Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (LPM), Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata kerajaan perlu melihat beberapa perkara sebelum mengambil langkah berkenaan, termasuk membuat kajian keberkesanan bahasa Inggeris yang dilaksanakan selama ini di sekolah.

"Kerajaan juga perlu meneliti kualiti tenaga pengajar bahasa Inggeris dan kemudahan disediakan serta pelajar juga perlu diberi peluang untuk memperbaiki keputusan mereka sekiranya gagal dalam mata pelajaran itu," katanya yang mahu PPSMI dihapuskan jika mahu langkah berkenaan dilaksana.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan meminta Kementerian Pelajaran tidak melaksanakan langkah itu secara terburu-buru kerana sebarang perubahan dalam sistem pendidikan negara memerlukan kajian mendalam.

"Guru perlu dipastikan bersedia sepenuhnya bagi memastikan akhirnya pelajar mendapat manfaat," katanya.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan menyokong cadangan kementerian itu, selain menyifatkan langkah itu lebih baik berbanding PPSMI.

"PIBGN bagaimanapun berharap cadangan itu mestilah disusuli dengan persediaan dari segi guru yang berkualiti selain kakitangan sokongan dan alat bantuan mengajar yang mencukupi bagi memastikan tidak timbul masalah apabila ia dilaksanakan," katanya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali, berkata kementerian harus mengambil langkah berhati-hati sebelum melaksanakan cadangan itu kerana tujuan pelaksanaannya tidak akan tercapai tanpa persediaan infrastruktur yang mencukupi.

Monday, June 1, 2009

Ingat Lagi ?








Bersama Cikgu Anaiz © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute